7 Tips Penting Sebelum Menunaikan Umrah
Menunaikan ibadah umrah adalah satu pengalaman yang sangat istimewa dalam hidup seorang Muslim. Persediaan bukan hanya dari sudut fizikal, tetapi juga dari aspek rohani, mental dan emosi. Berikut adalah 7 tips penting yang wajar diamalkan sebelum dan semasa berada di Tanah Suci:
1. Jaga Solat Sejak Sekarang
Persiapkan diri dengan menjaga solat lima waktu secara konsisten. Biasakan solat di awal waktu dan cuba perbaiki kualiti solat agar hati lebih tenang dan terbiasa dengan suasana ibadah ketika berada di Mekah dan Madinah.
2. Betulkan Niat
Tanamkan dalam hati bahawa perjalanan ini adalah semata-mata untuk beribadah dan meraih redha Allah. Elakkan niat ke Tanah Suci kerana ingin membeli-belah atau mengejar tujuan dunia semata-mata.
3. Jaga Adab dan Tingkah Laku
Sentiasa beradab — dalam bercakap, berurusan dengan orang, dan ketika berada di tempat suci. Perlu diingat, Tanah Suci bukan tempat melancong biasa. Tingkah laku kita di sana mencerminkan akhlak seorang Muslim.
4. Doa di Raudhah
Jika diberi peluang untuk masuk dan solat di Raudhah (antara tempat mustajab doa), manfaatkan sepenuhnya. Disarankan untuk berdoa ketika sujud terakhir sebelum tahiyat akhir, kerana suasana selepas salam selalunya dikawal ketat dan anda mungkin diminta keluar dengan segera.
5. Diam dan Redha
Jika makanan tidak menepati selera, diam dan bersabar. Jangan mengeluh atau mengkritik makanan yang disediakan. Sentiasa bersyukur atas segala nikmat, walaupun sekecil mana pun.
6. Solat Jenazah
Ambil peluang untuk menunaikan solat jenazah yang diadakan selepas setiap solat fardhu di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Ganjaran pahalanya sangat besar dan jarang dapat dilakukan di tempat lain dengan kekerapan sebegitu.
7. Bawa Ubat-Ubatan Asas
Jangan lupa membawa ubat-ubatan asas seperti paracetamol, ubat batuk, minyak angin, plaster luka, dan ubat peribadi jika anda mempunyai penyakit tertentu. Perubahan cuaca dan keletihan boleh menyebabkan tubuh mudah terjejas.
Perjalanan umrah adalah satu ibadah yang penuh keberkatan. Semakin baik persiapan kita, semakin besar peluang untuk merasai ketenangan dan kemanisan ibadah di Tanah Suci. Semoga tips ini memberi manfaat dan menjadi panduan buat anda dan jemaah yang lain.

Comments
Post a Comment